KL Plus masih belum sempurna
MASIH banyak yang perlu diperbaiki sebelum mengharungi Liga Super musim depan.
Itu kenyataan terbuka daripada jurulatih KL Plus, Mat Zan Mat Aris mengenai skuad bimbingannya itu.
Meskipun masih ada kelemahan, namun bekas pemain skuad negara itu tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak buahnya setakat ini yang sudah mula memperlihatkan keserasian.
"Saya puas hati walaupun tewas pada percubaan pertama kepada pasukan T-Team pada perlawanan akhir Kejohanan Pramusim 2008/2009 Ahad lalu.
"Menerusi kejohanan ini saya dapat mengenal pasti beberapa kelema- han yang perlu diperbaiki.
"Mereka (pemain) sudah faham corak permainan yang saya terapkan.
"Pada kejohanan itu, kami tidak mementingkan soal menang mahupun kalah, apa yang penting semua pemain dapat menyesuaikan diri dengan strategi yang cuba kami tampilkan," katanya kepada Kosmo! semalam.
KL Plus yang juga naib juara Liga Perdana musim 2008 tewas 0-1 kepada pasukan Liga Perdana, T-Team pada perlawanan akhir Kejohanan Pramusim 2008/2009 itu yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad lalu.
Mat Zan berkata, kekurangan yang agak ketara di kalangan pemainnya ialah ketahanan dan belum mencapai tahap seratus peratus.
"Ada juga pemain, khususnya pemain baru masih belum dapat menye- suaikan diri dengan corak permainan KL Plus, tetapi sebagai pemain profe- sional, ia mungkin bukan masalah kepada mereka. Mereka memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri.
"Majoriti pemain dalam pasukan kami adalah muka baru proses menyesuaikan diri itu akan memakan masa," katanya.
Menurut Mat Zan, beliau hanya mempunyai masa sebulan lagi untuk mempersiapkan pasukan, namun mengakui setakat ini perkembangannya agak memuaskan.
Begitupun katanya, semua posisi masih perlu diperkemaskan khususnya di bahagian serangan.
Selepas ini, KL Plus akan menguji kekuatan mereka pada Kejohanan Empat Penjuru yang dijadualkan berlangsung di Terengganu.
Ia turut disertai Kelantan dan Kedah.
SUMBER:Kosmo